Monday, September 6, 2010

Kasih Terpilih: Satu Legasi Dakwah..



TAJUK : KASIH TERPILIH
PENULIS : UMMU ITQAN
BIL. MUKASURAT : 252
HARGA : RM17.00 (SEM. MALAYSIA), RM19.00 (SABAH/SARAWAK)
PENERBIT : GALERI ILMU SDN. BHD.


SEPATAH DUA KATA PENULIS

Menulis..berkarya...memang dah sebati dalam diri...walaupun pola pemikiranku lebih kepada 'scientific thinking'. Namun,sastera itu adalah makanan jiwaku..aku menulis terus dari hati...

Kalau dulu, berkarya sekadar minat dan juga jalan mudah mencari duit poket (sesekali menang anugerah karya, RM 500 paling kurang aku pernah dapat!)....idea terlalu banyak..mencurah2...paling penting bila diadun dengan sentuhan dakwah, kepuasan yang terhasil cukup berganda. Malah, penulisan-penulisan ini jugalah yang kuharap dapat menjadi jariah apabila aku pergi menghadap Kekasihku kelak...

Syukur, Kasih Terpilih lahir juga selepas sekian lama penulisanku tertangguh...inilah pemangkin momentum dakwahku untuk karya kedua, ketiga dan seterusnya..semoga ada bahagianku kelak di sisi Allah...


SINOPSIS

Ketika Misali menyertai sebuah pasukan penyelidik untuk menyiapkan tesis sarjananya, dia tidak terfikir bahawa dia akan menghadapi konflik komunikasi dengan seorang rakan penyelidik yang ego. Dia juga tidak terfikir bahawa misi penyelidikan madu di belantara Tasik Pedu akan menjadi titik penentu kepada perubahan status gadisnya. Malah dia tidak terfikir, misi penyelidikan itu akan bertukar menjadi misi penemuan jodoh buatnya.

Lebih Misali tidak terfikir, di satu tahap dia harus membawa watak kaum Ansar yang membela kaum Muhajirin. Dia tidak terfikir ada 'Muhajirin' yang akan melintasi hidupnya dan mendamba kasih daripadanya ketika dia sudah di ambang jalinan ikatan suci dengan jejaka pilihan. Apakah Misali cukup kuat untuk menjadi 'Ansar'? Apakah si dia juga bersedia untuk berkorban demi seorang 'Muhajirin'?

Dua jejaka mengharap pada kasih yang satu. Dua 'Ansar' berdepan dengan seorang 'Muhajirin'. Kasih siapakah yang 'terpilih'?

MENGENAI PENULIS

Ummu Itqan atau nama sebenarnya Nurul Arsyiah Abdul Halim lahir pada 16 April 1981. Mendapat pendidikan awal di SMA Persekutuan Labu, Negeri Sembilan dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke USM dalam bidang Bioperubatan.

Pernah memenangi anugerah Sastera Siswa Bank Rakyat, pada tahun 1998 untuk kategori puisi. Cerpen dan puisi beliau pernah tersiar dalam beberapa majalah tempatan seperti Anis, Dewan Siswa dan Mingguan Wanita.

'Kasih Terpilih' merupakan novel sulung beliau yang berlatarkan pengalaman sendiri ketika menjalankan kajian ke atas madu kelulut sebagai tesis tahun akhir semasa di USM.

Beliau adalah aktivis Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), dan kini bertugas sebagai guru Biologi di SM Islam Al-Amin Gombak.

______________________


Mana-mana individu atau pihak yang berminat untuk mendapatkan novel ini, boleh hubungi saya di talian 012-6615745 atau di alamat email abu.itqan@gmail.com

Terima kasih.

-WaN aM-


Jom sertai Seminar Penulisan Kreatif Islami bersama Hilal Asyraf dan Faisal Tehrani pada 25 September. Maklumat lanjut di bahagian kanan blog ini.

Friday, September 3, 2010

Tips penulisan?

Oleh Hilal Asyraf

Semalam, ada seorang pelawat dengan nickname pengkritik meminta saya untuk memberikan tips-tips penulisan. Katanya, dia hendakkan tips-tips khas.

Jujurnya, pada saya, saya bukanlah orang yang layak hendak berkongsi akan perkara ini. Hal ini kerana, senior-senior dunia penulisan dan sastera masih ramai lagi yang sepatutnya menjadi rujukan awam. Saya hanyalah penulis yang baru sahaja hendak belajar bertatih.

Dalam situasi saya ini, adakah saya mempunyai tips-tips khas untuk dikongsi?

Tetapi memandangkan pelawat sudah bertanya kepada saya secara terus, adalah tidak sopan jika saya mengenepikan permintaannya begitu sahaja. Justeru, dalam post ini saya kongsikan beberapa pengalaman saya lah. Ini sekadar pengalaman sahaja. Bukanlah tips khas, atau kalau kamu ikut pastinya kamu akan berjaya, sekadar pengalaman saya untuk kita kongsi, moga-moga ada manfaatnya.

Pertama, saya bila hendak mula menulis sesuatu, maka saya akan mempunyai mesej. Apa yang saya hendak sampaikan kepada masyarakat? Itu adalah soalan yang akan saya tanya kepada diri saya sebelum saya memulakan penulisan. Dengan mempunyai mesej, maka saya sebenarnya sudah meletakkan batas dalam penulisan saya, agar penulisan saya tidak menerawang ke alam lain, lalu jauh dari jangkauan pembaca. Mesej saya tadilah yang akan menjadi sumber kepada idea-idea seterusnya di dalam cerita.

Jika saya hendak menulis berkenaan cinta, maka saya akan bertanya kepada diri saya, mesej cinta yang bagaimana yang saya hendak tunjuk kepada masyarakat? Jika saya hendak menulis berkenaan ukhuwwah, persahabatan, maka saya akan bertanya kepada diri saya, mesej ukhuwwah yang bagaimana yang saya ingin masyarakat nampak? Dari situ, saya sudah membentuk rangka cerita saya, perjalanannya, dan gaya penulisannya.

Kedua, bila saya hendak mendapatkan stail penulisan, maka saya akan menuntut ilmu dengan membaca dan bertanya. Saya akan membaca karya-karya mapan karangan penulis terkenal atau popular. Sebagai contoh, Faisal Tehrani, Ramlee Awang Mursyid dan Hlovate. Saya juga akan bertanya dengan senior-senior dunia sastera secara direct meminta pandangan, terutama ahli-ahli GKLN seperti Al-Fannani, Senior Fahd Razy, Lailati Mahad dan sebagainya.

ALLAH SWT berfirman,

“ Bertanyalah kepada yang lebih mengetahui jika kamu tidak tahu” Surah An-Nahl ayat 43.

Semuanya untuk mendapat ilmu agar stail penulisan saya menjadi tajam dan menyentuh pembaca. Saya hendak menulis, hinggakan bila saya sendiri membacanya, saya rasa kagum dan tidak bosan menelaahnya dari satu muka ke satu muka yang lain, walaupun itu sebenarnya karya saya sendiri.

Kita tidak boleh menulis secara semberono, menulis sekadar suka. Hal ini kerana, secara kita tidak sedar, pembaca pertama karya kita adalah kita. Jika kita menulis dengan sambil lewa, pasti, saya pasti kita akan kelemahan dan tidak akan mampu menamatkan penulisan karya kita.

Justeru, stail penulisan adalah amat penting. Dapatkan stail penulisan ini dengan membaca karya-karya orang lain, dan cuba bereksperimentasi dengan stail mereka, lalu kita reka gaya penulisan dan penceritaan kita sendiri.

Ketiga, bila saya hendak mereka jalan cerita, maka saya akan meluaskan pandangan saya dalam banyak skop. Saya akan sentiasa melihat kehidupan masyarakat, saya akan melihat juga kehidupan saya, saya akan membaca komik, saya akan menonton movie, saya juga akan menonton video klip-video klip, saya akan menonton iklan-iklan, saya akan membaca novel-novel dan cerpen-cerpen orang lain, dan saya akan menelaah Al-Quran dan Hadith. Kenapa? Hal ini kerana, saya hendak mencari idea yang bernas, bersih, kuat dan berlainan. Dengan melihat hasil kerja orang lain secara tidak langsung akal saya akan mencipta satu jalan cerita baru dengan isi yang bersih kemudian karya-karya saya akan disokong oleh ayat Al-Quran atau hadith secara langsung atau tidak langsung.

Dalam bercerita berkenaan mencari idea, sebenarnya, seluruh kehidupan kita adalah cerita. Jika kita pandai mengolah sebahagian dari kehidupan kita, dengan memasukkan unsur-unsur logik tetapi tidak pun berlaku dalam kehidupan kita, maka itu sahaja sudah menjadi sebuah cerita yang menarik sebenarnya.

ALLAH SWT berfirman,

“Sesungguhnya telah datang kepadamu beberapa keterangan daripada Tuhanmu. Barangsiapa yang melihat, maka bagi dirinya, dan barangsiapa yang buta maka atas dirinya” Surah Al-An’am ayat 104

Keempat, matlamat yang jelas. Ini adalah yang menjamin penerusan, dan kekuatan penulisan. Saya tidak menulis semata-mata untuk karya saya diterbitkan oleh syarikat tertentu, atau sekadar mendapat pujian dari beberapa pihak tertentu. Saya menulis dengan matlamat, saya hendak masyarakat mendapat satu pandangan dari sudut baru, dan belajar berkenaan ISLAM dalam penulisan saya. Justeru, saya tidak akan merasa puas dengan sekadar karya saya diterbitkan oleh syarikat penerbitan, atau karya saya dikomen oleh beberapa orang di dalam website.

Dengan matlamat ini, saya akan sentiasa berusaha memastikan karya saya segar, baik, boleh diterima ramai, dan difahami semua. Hal ini kerana, karya saya adalah untuk ummah. Bukan untuk kepuasan diri saya, atau menjadi sumber kewangan semata-mata.

Seorang ulama’ ada berkata,

“ Putus asa di tengah perjalanan adalah kerana kesilapan di titik permulaan”

Kelima, saya akan menetapkan had, atau pengakhiran yang ingin saya capai. Contoh, saya hendak menulis novel. Maka saya tetapkan, novel saya mestilah mempunyai 30 bab, 1 prolog, dan 1 epilog. Setiap bab muka suratnya hendaklah sekitar 10 muka. Di sini, saya akan menulis setiap bab dengan cuba mencukupkan 10 muka surat. Jika saya menulis tidak cukup 10 muka surat, saya akan kerah diri saya untuk mencukupkannya dengan menambah isi yang berkaitan, menambah dalil atau mengolah sedikit jalan ceritanya agar dapat berkembang.

Saya juga menetapkan had masa. Contoh, bila saya memulakan penulisan novel, maka saya akan letakkan, 30 hari dari hari ini, aku mesti siap. Jika Novel saya itu mempunyai 30 bab, maka saya akan kerah diri saya untuk menyelesaikan satu bab satu hari. Maka setiap masa saya, walau dalam apa pun medan saya kerjakan pada hari itu, memasak, membasuh baju, sebelum tidur, beriadhah, perjalanan ke universiti, belajar, maka saya akan gunakan medan-medan itu untuk mencari idea. Waktu belajar, bagaimana saya mencari idea? Saya adalah pelajar usuluddin, pembelajaran saya adalah seputar dalil Al-Quran dan hadith, serta kehidupan seorang muslim. Maka saya akan cuba mengekstrak pengajian saya, untuk dijadikan sebahagian dari isi cerita. Pokoknya, saya akan menggerakkan pemikiran saya setiap masa tanpa membazirkan kehidupan saya.

ALLAH SWT berfirman,

“ Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian…” Surah Al-‘Asr ayat 1.

Tips yang terakhir, tips keenam, saya akan menyediakan jadual. Dengan jadual, maka saya tidak akan menjadi seorang yang tergopoh gapah. Dalam sehari, saya akan memberikan sebahagian masa untuk menulis sahaja. Dengan itu, segala idea, segala isi yang saya dapat sepanjang kehidupan saya, hinggalah saat saya menulis, saya boleh tumpahkan dalam masa yang saya khaskan untuk menulis itu. Dengan ini, kerja saya akan menjadi kemas, dan tersusun.

Saya masih boleh menulis, pada masa yang sama saya masih boleh belajar, saya masih boleh memasak, saya masih boleh mengemas rumah, saya masih boleh beriadhah, saya masih boleh bercanda dengan kawan, masih boleh keluar makan, masih boleh beribadah dengan baik dan sebagainya. Itulah dia penangan jadual.

Guru saya ada berkata,

“ Kalau seseorang itu menyusun kehidupannya dengan baik, mengutamakan yang utama, nescaya dia akan nampak banyak ruang kosong dalam kehidupannya yang masih boleh dia isi”

Saya rasa, setakat ini sahaja perkongsian saya.

Jujurnya, saya tidak rasa pengalaman saya adalah pengalaman yang putus. Jika serius hendak menulis, maka carilah senior-senior alam penulisan dan sastera untuk mengambil pengalaman mereka. Mereka pastinya mempunyai tips yang lebih jelas dan kemas

(Artikel dipetik daripada blog penulis yang beralamat http://ms.langitilahi.com/)

Thursday, September 2, 2010

SEMINAR PENULISAN KREATIF KARYA ISLAMI BERSAMA FAISAL TEHRANI & HILAL ASYRAF

TARIKH: 25 SEPTEMBER 2010 (SABTU)

TEMPAT: AUDITORIUM B, KULIYYAH ENGINEERING UIAM GOMBAK

MASA: 9.00 AM - 1.30 PM

MENAMPILKAN: DUA ORANG PENULIS PROLIFIK GENERASI BARU, FAISAL TEHRANI DAN HILAL ASYRAF

ANTARA TAJUK YANG AKAN DIKUPAS IALAH:

1) Membina Momentum Dakwah dalam Diri Penulis oleh Hilal Asyraf
2) Asimilasi Dakwah dalam Penulisan Kreatif: Tunggu Teduh Dulu, Satu Refleksi oleh Faisal Tehrani

YURAN: RM 30 (PELAJAR)/ RM 50 (BEKERJA)

DAFTAR SEGERA DENGAN MENGHUBUNGI WAN MUHAMMAD - 012-6615745 ATAU EMAIL wanam.selfpride@gmail.com SEBELUM 15 SEPTEMBER 2010
(nyatakan nama penuh, emel dan kategori anda (pelajar atau bekerja)

TERIMA KASIH.